Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sedang melaksanakan kajian untuk mewujudkan garis panduan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan badal haji termasuk meneliti aspek kebolehlaksanaan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat mahupun individu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kajian itu dilaksanakan susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung keperluan memperkemas pelaksanaan perkhidmatan berkenaan.
Beliau berkata, dalam masa yang sama, JAWHAR dan Lembaga Tabung Haji (TH) juga akan terus menjelaskan mengenai badal haji melalui sesi penerangan, kesedaran dan hebahan melalui tazkirah di masjid dan surau, kempen di media sosial dan siri jelajah ke seluruh negara.









