Kuala Lumpur: Melihat keadaan Selangor dan Kuala Lumpur yang mula dilanda banjir berikutan hujan melanda setiap hari, membuatkan penduduk di kawasan Pantai Timur mengambil langkah awal melakukan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Wan Aiman Wan Azuar, 24, berkata, dia dan keluarganya di Kelantan sudah membuat beberapa persiapan bagi menghadapi musim tahunan ini.
"Sekiranya hujan berterusan dan air mula naik, kami akan mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi untuk memastikan tidak ditenggelami air.
"Bagi dokumen penting seperti surat beranak, kami menyimpan dalam satu fail kalis air dan diletakkan di tempat yang selamat, tinggi dan mudah dicari selepas banjir surut," katanya kepada Harian Metro.








