JOHOR BAHRU – Seorang pengurus koperasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk membuat pembiayaan peribadi, empat tahun lalu.
Tertuduh, Ku Siti Zulaikha Mohamed Zakkariya, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Kanageswari.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menipu dengan memperdayakan Ibrahim Ali, 61, dengan curangnya mendorong untuk mempercayai bahawa butiran-butiran dalam dokumen sokongan yang dikemukakan untuk permohonan pembiayaan peribadi yang sebenarnya mengandungi butiran-butiran yang palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Koperasi Pegawai Kerajaan Daerah Johor Bahru Berhad (KOOPJB), Bangunan Kerjasama, Jalan Dhoby, di sini pada 23 September 2022.









