Kuala Lumpur: Inflasi kesihatan negara meningkat kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya, didorong kenaikan kos perkhidmatan kesihatan khususnya insurans berkaitan kesihatan yang melonjak 9.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata, Indeks Harga Kesihatan (IHK) 2025 menunjukkan kategori Perkhidmatan Kesihatan merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 4.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada 2024.

Kenaikan itu katanya disumbangkan terutama oleh kelas perbelanjaan Insurans berkaitan kesihatan yang meningkat 9.1 peratus pada 2025 berbanding tiada perubahan pada tahun sebelumnya.

Katanya, sementara itu, kategori Ubat yang mempunyai wajaran terbesar dalam IHK iaitu 38.9 peratus, merekodkan peningkatan harga sebanyak 2.8 peratus berbanding 2.2 peratus pada 2024.