KUALA LUMPUR: 'Taufan besar' yang membadai persiapan Harimau Malaya menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman tidak menggentarkan keyakinan ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Dugaan awal bermula apabila senarai panggilan kali ini tidak disertai kelompok pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kekuatan skuad kebangsaan.

Ujian buat kem negara bertambah perit apabila sehari sebelum berlepas, enam pemain dari Selangor FC (SFC) terpaksa 'ditinggalkan' susulan masalah kecederaan selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu.

Perkembangan ini menyaksikan Cheng Hoe mungkin terpaksa membuat rombakan drastik sekali gus menuntut pengendali itu merencana semula strategi dengan barisan pemain yang sedia ada.