Lahad Datu: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 538 mililiter cecair mengandungi racun jenis 'diphenhydramine' pada Januari lalu.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azme Zainudin, 27, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dengan pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki cecair berisipadu 538 mililiter yang mengandungi racun jenis diphenhydramine di kawasan tepi jalan, Jalan Fajar, di sini, pada 12.30 tengah hari 31 Januari lalu.