LAHAD DATU: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 538 mililiter (ml) cecair mengandungi racun jenis Diphenhydramine, Januari lalu.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azme Zainudin, 27, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Azme dituduh memiliki cecair berisipadu 538ml yang mengandungi racun jenis Diphenhydramine di kawasan tepi jalan di Jalan Fajar, di sini, kira-kira 12.30 tengah hari pada 31 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, dibaca bersama Seksyen 9(3) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2).