KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan lebih 1,000 pengusaha van sekolah di negeri ini beroperasi tanpa permit dengan ada dalam kalangan mereka memperoleh pendapatan hampir RM10,000 sebulan.

Van berkenaan dikatakan membawa sehingga 15 pelajar dengan sekurang-kurangnya empat perjalanan dilakukan setiap hari.

Malah, ada dalam kalangan mereka menggunakan van daif berusia lebih 20 tahun, termasuk tanpa kemudahan penyaman udara demi meraih keuntungan berganda.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah ketika mendedahkan perkara itu, berkata keadaan itu dikesan hasil risikan dan Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan (KPPA) yang dilakukan pihaknya pada Khamis lalu.