Johor Bahru: Doktor sebuah poliklinik swasta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana menggaji seorang pekerja lelaki warga Pakistan tanpa permit sah pada bulan lalu.
Tertuduh, N Vigneswaran, 44, turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil pekerja iaitu seorang pekerja lelaki warga Pakistan, Adnan Khan, 34, tanpa permit sah di sebuah klinik di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, pada 1.44 pagi 18 Oktober lalu.










