Kuala Lumpur: Tidak pernah terbabit kemalangan jalan raya seumur hidupnya, Ahmad Syahid Mazelan berdepan pengalaman pertama mencemaskan apabila kereta dipandunya merempuh sekawan lembu yang berkeliaran di tengah jalan.
Bagaimanapun, guru sekolah rendah itu bernasib baik apabila dia, isteri dan anak mereka yang turut berada dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menceritakan insiden itu, Ahmad Syahid, 33, berkata, ketika kejadian jam 10.40 malam Sabtu lalu, dia bersama isteri, Nur Ainun Amirah Sharif, 29, dan anak mereka berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Binjai, Kemaman, Terengganu selepas menziarahi ibu dan mentuanya di Kuala Terengganu.
Katanya, kemalangan itu berlaku selepas susur keluar Chukai, di kawasan jalan lurus yang gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.








