Kuala Lumpur: Penyanyi, Daus Eli, 38, menegaskan faktor usia bukan penghalang untuk dirinya terus mengorak langkah dan bersaing dalam industri muzik tanah air.
Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli berkata, walaupun industri semakin kompetitif dan menuntut perubahan trend yang pantas, dia percaya ruang untuk bertahan tetap ada buat mereka yang konsisten.
"Memang mencabar, tetapi bagi saya selagi kita ada bakat, berusaha dan sentiasa konsisten, ruang untuk bertahan itu masih terbuka. Yang penting jangan mudah mengalah.
"Pada usia sekarang, saya masih mempunyai banyak impian yang belum dicapai. Saya mahu terus berkarya, mencabar vokal dan meneroka pelbagai genre muzik. Perjalanan seni saya belum selesai," katanya.









