MELAKA: Seorang jurutera kilang didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memiliki video lucah, bulan lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Liow Soon Hul, 34, selepas mengambil kira fakta kes, rayuan pembelaan dan hujah pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal bayar denda berkenaan. Soon Hul didakwa memiliki telefon bimbit mengandungi video lucah di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Krubong pada 14 September lalu, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.









