KUALA LUMPUR: Masalah sistem brek dipercayai menjadi punca kepulan asap keluar daripada sebuah tren di Stesen KL Sentral, di sini, petang tadi.

Rapid KL dalam satu kenyataan, hari ini, mengesahkan tren terbabit dikeluarkan daripada perkhidmatan sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pemeriksaan terperinci dijalankan di depoh, susulan kejadian sekitar jam 5.15 petang itu.

Menurutnya, semua penumpang diturunkan dengan selamat di Stesen Bangsar sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, dan perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa," katanya.