Melaka: UMNO bersedia mendedahkan semua maklumat terperinci berhubung kutipan RM50 juta menerusi Tabung Solidariti Najib Razak.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tabung yang dibuka oleh Ibu Pejabat UMNO itu sudah ditutup selepas berjaya mencapai sasaran kutipan RM50 juta.
Beliau berkata, kutipan berkenaan dilaksanakan menerusi sumbangan dana awam yang bukan sahaja membabitkan ahli UMNO, malah orang ramai.
"Kita sedia untuk membuka semua maklumat terperinci hasil kutipan itu kepada pihak berwajib kerana kita telah mendapat garis panduan daripada pihak berwajib dan kita ikuti sepenuhnya garis panduan berkenaan dan wang itu disalurkan setelah ia dimasukkan di dalam akaun yang diamanahkan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia," katanya.










