Ankara: Syarikat pengeluar cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jensen Huang berdepan saman daripada pemegang saham atas dakwaan mengelirukan pelabur kerana gagal mendedahkan hubungan peribadi Huang dengan seorang bekas eksekutif Megaspeed, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Isnin.
Tindakan undang-undang itu menyusul selepas lembaga pengarah Nvidia pada Ahad mengumumkan siasatan bebas terhadap Huang berikutan laporan bahawa beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing, lapor Anadolu Ajansi.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di California itu mendakwa Nvidia dan Huang melanggar Akta Bursa Sekuriti 1934.
Saman yang difailkan oleh pemegang saham Mark Kistenmacher melalui firma guaman The Rosen Law Firm itu mewakili pelabur yang membeli atau memperoleh sekuriti Nvidia antara 9 Okt 2025 hingga 8 Nov 2026.










