TUMPAT: Selama 11 tahun, seorang pemandu lori didakwa menyeludup ternakan dari Thailand ke pelbagai destinasi di seluruh negara, dengan mendapat upah antara RM350 hingga RM450 bagi setiap perjalanan.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 31, itu berkata, dia mula mengangkut pelbagai jenis ternakan seperti rusa, lembu dan kambing dari sempadan Kelantan-Thailand ke beberapa destinasi termasuk Selangor dan Johor sejak 2015.
Dengan purata tiga perjalanan seminggu, lelaki dari Chabang Empat di sini, mampu memperoleh pendapatan sehingga RM6,000 sebulan.
Bagaimanapun, nasibnya tidak menyebelahinya hari ini apabila ditahan anggota penguat kuasa sempadan ketika dipercayai membawa tujuh rusa untuk dihantar ke Besut, Terengganu.








