Istanbul: Markas Pemerintahan Am Angkatan Pertahanan Bahrain pada awal Rabu memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa serangan udara Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan itu tidak menyatakan jenis atau jumlah projektil yang terlibat dalam serangan berkenaan, selain tidak memberikan perincian mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan dua amaran menerusi platform media sosial X, menggesa rakyat dan penduduk negara itu supaya bertenang serta menuju ke "lokasi selamat terdekat."
Pada Selasa, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan dron yang menyasarkan sistem radar tentera AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.








