Kota Tinggi: Pengurus wanita bersama dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat dan memecah masuk sebuah premis pajak gadai, awal bulan ini.
Tertuduh, Nor Zeelyza Mohd Mohely, 41; Norzai Asman Ahmad Saru, 39; dan Nasaruddin Mahabod, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.
Mengikut pertuduhan, Nor Zeelyza didakwa bersubahat dengan Norzai Asman dan Nasaruddin dengan melakukan pecah rumah sebuah kedai emas milik syarikat Ar-Rahnu Koperasi Perbadanan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) cawangan Kota Tinggi di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai premis berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 5 November lalu.








