MANAMA: Bahrain mendakwa berjaya memintas serta memusnahkan beberapa serangan udara Iran, hari ini, manakala Tehran mendedahkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara Teluk ini.

Ia adalah pemintasan pertama seumpamanya oleh pertahanan udara Bahrain sejak September lalu, selepas dua amaran potensi ancaman dikeluarkan yang menggesa penduduk berlindung dengan segera.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata, pihaknya menyerang sebuah pangkalan tentera AS di Bahrain sebagai tindak balas terhadap 'tindakan permusuhan AS', lapor agensi berita Iran, Fars.

Press TV melaporkan IRGC berkata, pasukannya melancarkan enam dron yang menyasarkan radar pertahanan udara AS di pangkalan helikopter Al-Rifaa, Bahrain.