WASHINGTON: Ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus mening­kat selepas Presiden, Donald Trump mengarahkan kapal peng­angkut pesawat ketiga AS dihantar ke Asia Barat, meski­pun beliau mendakwa konflik itu akan berakhir tidak lama lagi.

Markas Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan penempatan tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat di Asia Barat merupakan peningkatan kekuatan tentera laut terbesar negara itu di rantau berkenaan sejak pencerobohan Iraq pada 2003.

Dua pegawai AS berkata, kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt bersama Unit Ekspedisi Marin Ke-13 dijadual tiba di Asia Barat menjelang akhir November.

Setibanya di rantau itu, USS Theodore Roosevelt akan beroperasi bersama USS George H.W. Bush yang dikerahkan pada April dan USS George Washington yang tiba pada Ogos bagi menggantikan USS Abraham Lincoln.