WASHINGTON: Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Pentagon memberi amaran bahawa Russia kini sedang membangunkan senjata nuklear baharu berasaskan angkasa lepas yang berupaya diledakkan di orbit bumi.

Perkembangan membimbangkan itu didedahkan menerusi laporan terbaharu DIA yang memberi amaran bahawa peranti pemusnah milik Moscow itu mampu memusnahkan ribuan satelit secara serentak dalam satu-satu masa.

Laporan berkenaan turut menegaskan bahawa kerosakan skala besar susulan serangan sedemikian bakal memberi impak global yang amat dahsyat, termasuk berisiko melumpuhkan sistem ekonomi negara-negara Barat.

Pendedahan menggerunkan ini muncul sejurus selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, mengeluarkan amaran keras kepada pihak Barat dengan menyatakan kesediaan negaranya untuk berdepan peperangan secara terbuka dengan Eropah.