KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas untuk rawatan obesiti dan diabetes menggunakan ubat seperti Ozempic dan Mounjaro dalam Belanjawan 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan sebelum ini boleh mendapatkannya menerusi mekanisme Ubat Kelulusan Khas (UKK) menggunakan peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, sebanyak 240 permohonan rawatan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September lalu dengan melibatkan kos keseluruhan bernilai RM2.56 juta.
“Ubat daripada kumpulan GLP-1 (glucagon-like peptide-1) semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini kerana keberkesanannya dalam merawat pesakit diabetes jenis 2 dan individu yang mengalami obesiti.









