PETALING JAYA: Status tujuh pemain warisan kekal sebagai rakyat Malaysia selepas tempoh penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berakhir, semalam.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua wakil kelab Liga Malaysia (Liga M) ketika perbincangan meja bulat pada April lalu.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd juga sudah menjelaskan situasi berkenaan, sekali gus menolak sebarang kekeliruan berhubung status mereka sebagai rakyat negara ini.

“Seperti yang saya katakan di peringkat MFL, masa meja bulat pun kita sudah nyatakan. Shazli pun sudah mengatakan bahawa mereka ini rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita.