KUALA LUMPUR: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran acara sukan pickleball di Cave PP Club, Ampang, di sini, hujung minggu lalu.
PAAB Media x Pickleball Tournament 2026 itu disertai 32 pasukan mewakili pelbagai organisasi media yang beroperasi sekitar ibu negara, antaranya Media Prima Bhd, Berita Harian (BH), News Straits Times (NST), TV3, RTM, Sinar Harian dan TV AlHijrah selain tuan rumah.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) itu bukan sekadar mengetengahkan elemen pertandingan, malah menjadi platform santai bagi mengeratkan hubungan, meningkatkan interaksi serta membina jaringan komunikasi yang lebih dekat antara PAAB dengan rakan-rakan media.









