Kuala Lumpur: Bapa kepada lima anak dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah mencuri barangan pasar raya bernilai RM394 di Kelantan, bulan lalu.

Tertuduh, Wan Eskandar Wan Julihi, 43, didapati mencuri 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin dari pasar raya PKT Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 1 November, Majistret R Vinoshen berkata, kesempitan hidup dan tanggungjawab keluarga yang ditanggung tertuduh tidak secara automatik membolehkan hukuman lebih ringan diberikan kepadanya.

Beliau turut memetik peribahasa Tamil purba yang membawa maksud seseorang tidak seharusnya melakukan perbuatan salah atau tidak bermoral walaupun ibunya sendiri sedang kelaparan.