GAZA: Hamas hari ini mengesahkan seorang komander kanannya terkorban dalam serangan udara Israel, semalam.
Sayap bersenjata kumpulan pejuang itu, Briged Al-Qassam, berkata mangsa syahid dikenal pasti sebagai Samir Abu Younis, 53, yang juga komander briged Rafah dan antara yang memainkan peranan utama dalam pelancaran serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
REUTERS melaporkan pasukan perubatan pula memaklumkan bahawa Samir maut dan sejumlah mangsa lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan komander itu di jalan raya kawasan Mawasi di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza.
Hamas berkata, Samir menyertai sayap bersenjatanya pada 1991 dan berpengalaman memegang beberapa jawatan kanan operasi di Rafah sebelum dilantik sebagai komander briged berkenaan.









