Kuala Lumpur: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang diasuh isterinya.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Afiq Affendy, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Jinjang Utara, Sentul, di sini, pada 7 malam, 1 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.