KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 29 individu, termasuk seorang warga asing kerana disyaki mempromosi dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan haram menerusi platform media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun ditahan menerusi operasi khas Ops Mega TikTok 2026 pada 10 hingga 12 Oktober.
Beliau berkata operasi memantau aktiviti pertubuhan yang diwartakan haram oleh kerajaan itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Hasil operasi melibatkan 11 kontinjen, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak, 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.









