Melaka: Peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan warga emas perlu diberi perhatian berikutan golongan itu turut terdedah kepada risiko penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian besar termasuk kehilangan wang pencen dan simpanan.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata situasi itu memerlukan warga emas diberikan pendedahan dan advokasi berterusan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial serta berinteraksi dalam dunia Internet.
Beliau berkata susulan peningkatan kes yang agak membimbangkan, JKM melalui Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berterusan melaksanakan program kesedaran bagi membendung golongan itu daripada menjadi mangsa penipuan.








