KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mendedahkan opsyen tindakan undang-undang berkaitan pembatalan perolehan sistem peluru berpandu antikapal (Naval Strike Missile - NSM) bernilai tinggi, namun masih memberi ruang kepada proses rundingan buat masa ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah merujuk kes berkenaan ke mahkamah menerusi tindakan saman atau timbang tara (arbitration) akan diambil sekiranya rundingan dengan pihak berkaitan menemui jalan buntu.
"Sekarang masih dalam rundingan. Kalau kita tidak dapat mencapai sebarang persetujuan, perkara itu akan dirujuk untuk tindakan saman atau timbang tara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran di Hotel Wyndham, di sini, hari ini.










