Pada Mei lalu, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM yang dipesan Malaysia di bawah kontrak 2018 untuk melengkapi LCS milik tentera laut. (Gambar Kongsberg Defence)

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan membayangkan usaha mendapatkan ganti rugi susulan pembatalan perolehan peluru berpandu 'naval strike missile' (NSM) akan mengambil masa panjang, kata Menteri Khaled Nordin.

Khaled berkata, usaha itu bertambah sukar kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu itu.

"Kita sudah mengemukakan permintaan supaya mereka membantu melalui pelbagai peringkat, termasuk perdana menteri, menteri luar, dan saya sendiri.

"Namun, mereka langsung tidak membantu kita dalam usaha mendapatkan keputusan yang dapat memberi serta melindungi hak dan kepentingan kita. Jadi, kita terdedah hanya untuk membuat tuntutan terhadap pihak syarikat. Kita tahu apabila berhadapan dengan syarikat, mereka akan menggunakan pelbagai alasan dan sebagainya.