KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berjaya melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-133 dunia berikutan pencapaian membanggakan menerusi rekod tiga kemenangan dan satu keputusan seri sepanjang mengharungi pentas Piala ASEAN FIFA, baru-baru ini.
Peningkatan berterusan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ini membuktikan bahawa skuad negara berada pada landasan yang betul apabila terus konsisten meraih mata berharga menerusi aksi persahabatan antarabangsa.
Namun, peningkatan positif ini tampak meletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta barisan kejurulatihan dalam dilema berhubung pemilihan lawan yang tepat untuk aksi antarabangsa yang akan datang.
Pilihan untuk terus mengatur perlawanan menentang pasukan pada ranking lebih rendah menawarkan kelebihan dalam memastikan bekalan mata FIFA terus dipungut secara konsisten demi mengekalkan momentum kemenangan pasukan.









