KOTA TINGGI: Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Selatan menubuhkan pasukan penyiasat insiden perlanggaran kapal kargo pukal dengan sebuah tongkang, kira-kira 32 batu nautika dari Tanjung Sedili, di sini, semalam.

JLM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan awal, mengumpul maklumat terperinci serta mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian itu.

Insiden kira-kira 2 petang itu melibatkan kapal kargo pukal MV QI LIN (POR Majuro) dan tongkang ADAMANTIUM (POR Kuching) yang sedang ditunda oleh bot tunda HIGHLINE 56 (POR Kuching).

Ketika kejadian, tongkang yang membawa kira-kira 9,000 tan gipsum asli itu dalam pelayaran dari Thathong, Thailand ke Kobexindo, Indonesia, manakala MV QI LIN dalam perjalanan dari Cai Lan, Vietnam ke Singapura.