PUTRAJAYA: Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah tidak perlu membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan khas kewangan RM1,000 kerana nama mereka sudah ada dalam pangkalan data kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan secara sekali bayar itu akan diberikan berdasarkan rekod pemandu yang sah dan memiliki lesen Vokasional Perkhidmatan Awam (PSV).

“Jadi kita nak memudahkan, tidak ada proses pendaftaran. Dia akan ikut nama pemandu dalam pangkalan data kita.

“Kriteria kita senang sahaja. Selagi dia pemandu yang sah, dia ada lesen PSV, kita berikan bantuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.