SUNGAI PETANI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa Jepun berhubung insiden penahanan rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan dadah di negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan untuk bertindak segera bagi memastikan perkara sebenar dapat diketahui.

“Maklumat lengkap berhubung insiden berkenaan akan disampaikan kepada media sebaik sahaja diterima,” katanya pada sidang akhbar program Townhall Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas penahanan lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) kokain bernilai RM3.1 juta di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lepas.