KUALA LUMPUR – Asap tebal yang dilihat keluar dari longkang di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Ramp 0.5, dipercayai berpunca daripada lampu jalan terbakar.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam memaklumkan, hasil pemeriksaan polis bersama pihak pengurusan Lebuh Raya DUKE mendapati kejadian itu berpunca daripada kebakaran pada lampu jalan berkenaan.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan, manakala tindakan susulan masih dilakukan oleh pihak pengurusan lebuh raya.

Kejadian berlaku di Ramp 0.5, laluan dari Greenwood menghala ke susur Hospital Kuala Lumpur (HKL).