SELEPAS berminggu-minggu, malah kadangkala berbulan-bulan menunggu, akhirnya seekor harimau Malaya muncul dari kegelapan hutan, berhenti seketika di hadapan kamera sebelum menghilang semula.

Bagi Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau), rakaman seperti itu bukan sekadar memberikan gambaran tentang salah satu spesies kucing besar yang paling terancam di dunia, malah menjadi bukti bahawa hidupan liar masih mendiami hutan Perak.

Rakaman-rakaman seperti itu menjadi nadi kepada Tiger’s World iaitu sebuah dokumentari yang dihasilkan daripada pemantauan menggunakan perangkap kamera selama bertahun-tahun.

Dokumentari itu dipersembahkan menerusi Tiger’s World: A Royal Benefit Screening di Aurum Theatre di The Exchange TRX, Kuala Lumpur baru-baru ini.