KUCHING – Kanak-kanak berstatus bukan warganegara Malaysia masih layak mendapat akses pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan jika mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara, tertakluk kepada syarat dan prosedur Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kelayakan itu tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Peraturan-Peraturan Pendidikan 1998 serta prosedur KPM yang sedang berkuat kuasa.

“Bagi tujuan kemasukan ke sekolah, maklumat ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia hendaklah tertera dalam sijil kelahiran kanak-kanak.

“Status kewarganegaraan dan akses kepada pendidikan merupakan dua perkara yang berbeza,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.