Sardinia, Itali: Seorang lelaki diselamatkan dalam keadaan masih hidup selepas terperangkap di dalam gua di Pulau Sardinia, Itali, selama kira-kira 26 jam susulan kejadian runtuhan batu yang berlaku pada Isnin, lapor The Independent.
Luca Olmetto, 31, sedang meneroka Gua Gorroppeddu berhampiran bandar Urzulei di bahagian tengah timur Sardinia pada petang Ahad apabila runtuhan batu menyebabkan dia terperangkap kira-kira 10 meter (m) di bawah permukaan tanah.
Teman wanitanya yang berada beberapa meter di belakangnya terselamat tanpa kecederaan sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Susulan itu, menurut media tempatan, kira-kira 30 anggota penyelamat, termasuk doktor dan pakar pembersihan runtuhan, dihantar ke lokasi bersama ambulans udara wilayah dan pasukan bomba.








