Putrajaya: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyifatkan bantuan khas secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa sebagai bukti suara serta kebajikan penggiat industri itu mendapat perhatian kerajaan.

Presidennya, Kamarudin Hussain berkata, bantuan berkenaan bukan sekadar meringankan beban kewangan pemandu, malah menjadi penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada masyarakat.

Beliau berkata, GTSM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas perhatian serta pertimbangan terhadap permohonan yang diperjuangkan persatuan itu sejak Ogos lalu.