PETALING JAYA – Keluarga kanak-kanak perempuan yang maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menegaskan mereka tidak pernah menganjurkan sebarang kutipan dana awam susulan tragedi tersebut.

Bapa mangsa, Ahmad Shahir Mohammad Nor Izam berkata, penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kejadian yang menimpa keluarganya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat kod QR atas namanya yang dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Pencala, tempat beliau bertugas sebagai bilal.

“Walau bagaimanapun, memang ada kod QR atas nama Ahmad Shahir Bin Ahmad Norizan (Abi Asiah) yang telah dikongsikan oleh pihak Masjid Jamek Kampung Sungai Pencala, di mana saya bertugas sebagai bilal masjid,” katanya menerusi hantaran di Threads menggunakan akaun @aqif.afifi, hari ini.