PETALING JAYA: Keselamatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gantisan, Sabah yang menggunakan bot untuk ke sekolah setiap hari mendapat perhatian syarikat korporat menerusi penyediaan jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak.
Murid dari Kampung Numbak dan Kampung Kebagu di Kota Kinabalu itu sebelum ini menggunakan jaket keselamatan bersaiz dewasa ketika menaiki bot ke sekolah, yang kurang sesuai dengan saiz tubuh mereka.
Bagi meningkatkan keselamatan perjalanan tersebut, sebanyak 210 jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak disediakan hasil kerjasama DP World, Suria Group dan Sabah Ports Sdn. Bhd. (SPSB).
Sebanyak 11 jaket diserahkan kepada murid dalam satu majlis di Wisma Sabah Ports pada 1 Oktober lalu, manakala baki 199 jaket akan dihantar terus kepada SK Gantisan.








