PETALING JAYA: Puspakom Kajang yang mula beroperasi hari ini mampu memeriksa sehingga 800 kenderaan sehari menerusi 10 lorong pemeriksaan, sekali gus meningkatkan kapasiti perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di selatan Selangor.
Pusat pemeriksaan baharu yang terletak di Bandar Teknologi Kajang itu merupakan cawangan terbesar Puspakom yang dikhususkan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan ringan dan kenderaan persendirian.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pusat berkenaan mempunyai lima lorong untuk kenderaan perdagangan dan lima lorong bagi kenderaan persendirian.
“Puspakom Kajang bukan sekadar sebuah pusat pemeriksaan kenderaan baharu, malah mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan akses dan kemudahan kepada pelanggan, di samping memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kekal cekap, boleh dipercayai dan responsif terhadap peningkatan permintaan,” katanya dalam kenyataan.








