PUTRAJAYA: Tiada syarikat perladangan Malaysia dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pembakaran yang mencetuskan jerebu di Indonesia, berdasarkan semakan silang dengan syarikat tempatan yang mempunyai konsesi sawit di negara berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata semakan mendapati kebanyakan aktiviti pembakaran berlaku di luar kawasan konsesi sawit milik syarikat Malaysia.

"Jemaah Menteri hari ini membincangkan beberapa perkara berkait isu jerebu yang melanda dan terus memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

"Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Peladangan dan Komoditi) memaklumkan semakan silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan kebanyakan daripada apa yang disaksikan, aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia," katanya.