JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki warga China termasuk tiga pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan terbabit penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud di Forest City, awal bulan ini.

Hong Wei Xian, 25; Zhou Fu, 22; Chen Lu, 23; Yuan Shuping, 29; Li Yi, 30; Wang Tengfei, 30 dan Chen Xiaojia, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Semua tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain bagi melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu dengan membuat penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Perbuatan didakwa dilakukan di dua unit kediaman di Forest City di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 1 Oktober lalu.