Johor Bahru: Tujuh lelaki warga China termasuk tiga pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di Forest City, awal bulan ini.

Hong Wei Xian, 25; Zhou Fu, 22; Chen Lu, 23; Yuan Shuping, 29; Li Yi, 30; Wang Tengfei, 30 dan Chen Xiaojia, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain bagi melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang, iaitu dengan membuat penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua unit kediaman di Forest City di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 1 Oktober lalu.