KOTA BHARU: Usaha memperkukuh pendidikan masa hadapan menerusi gabungan teknologi, inovasi dan nilai kemanusiaan menjadi tumpuan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kali Ke-4 (ICTE'26) yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta di sini.

Persidangan selama dua hari bermula 14 Oktober itu menjadi platform perkongsian ilmu, penyelidikan dan inovasi bagi meneroka pendekatan baharu dalam pengajaran serta pembelajaran, selaras dengan tuntutan Pendidikan 5.0.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz, berkata kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan penerapan nilai, etika dan kemanusiaan bagi memastikan pembangunan pendidikan yang holistik.

"Apabila kita bergerak menuju Pendidikan 5.0, tumpuan kita tidak boleh terhad kepada kemajuan teknologi semata-mata. Teknologi dan inovasi perlu dipandu oleh nilai, etika dan kemanusiaan bagi melahirkan individu yang berkeupayaan intelektual, bertanggungjawab kepada masyarakat serta mempunyai jati diri yang kukuh," katanya.