Kuala Lumpur: Pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir di Nepal baru-baru ini, antara 121 warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi penghargaan bersempena dengan Majlis Malam "Bakti Disanjung Budi Dijunjung" KPKT 2026 malam tadi.
KPKT memaklumkan Mohd Sani telah menabur jasa dalam perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara selama lebih 30 tahun.
"Penghargaan kepada beliau adalah tanda ingatan dan solidariti seluruh warga KPKT terhadap Mohd Sani serta keluarganya," menurut kenyataan KPKT hari ini.
KPKT turut menzahirkan harapan agar segala usaha mendapatkan kepastian mengenai keberadaan beliau dipermudahkan, selain mendoakan agar keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan itu.






