KUALA LUMPUR: Pasukan AJS Niaga dan Dsevenfour Ventures masing-masing dinobatkan juara pada final kebangsaan Kejohanan Golf Bisnes Asia (ABGC) 2026 di The Els Club Teluk Datai, Langkawi, baru-baru ini.
Diperkuatkan Mohamad Azim Syahmi dan Sharul Nizam Mohamed, AJS Niaga memenangi kategori gross selepas gandingan pemain itu mencatatkan 70 pukulan keseluruhan dalam pertandingan menggunakan format `two ball best ball'.
Kejayaan itu, membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan barangan tajaan Panasonic Malaysia. Gelaran naib juara pula menjadi milik Insight Alliance Capital Sdn Bhd yang diwakili Datuk Shamsul Azman Mahadi dan Mohamad Hisham Sarjeet Abdullah dengan catatan 71.
Tempat ketiga pula dimenangi gandingan Megat Shariffudin Shaharuddin dan Md Khairul Sarbany @ Sulaiman yang mewakili pasukan Infrasel menerusi catatan 71 pukulan selepas kiraan semula (OCB).








