PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kemaraan wakil Malaysia ke separuh akhir selepas menyingkirkan pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.

Dalam suku akhir tersebut, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan straight set ke atas gandingan ke-41 dunia itu 21-16, 21-8 dalam masa 38 minit di SJF Bank Arena.

Kejayaan itu menemukan Aaron-Wooi Yik dengan beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di separuh akhir, esok.

Wooi Yik berkata, berdepan beregu Jepun yang memiliki sistem pertahanan yang bagus, mereka perlu bijak memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.